Site menu
Login form
Our poll
Rate my site
Total of answers: 4
Statistics

Total online: 1
Guests: 1
Users: 0
free counters


SEKOLAH KEBANGSAAN RAJA CHULAN
PULAU TIGA
36800 KAMPUNG GAJAH, PERAK DARUL RIDZUAN

 

         Penubuhan awal Sekolah Melayu Lelaki Pulau Tiga adalah salah sebuah sekolah tertua di negeri Perak yang didirikan oleh Kerajaan Penjajah Inggeris pada tahun 1880. Bangunannya diperbuat daripada kayu bulat, atap bertam, dinding buluh dan lantai papan yang disusun di atas batang kelapa yang dibina secara gotong-royong oleh penduduk tempatan. Saiznya hanya 20 X 20 kaki. Bangunan ini didirikan di atas tanah kepunyaan Allahyarham Encik Alang Bedul. Jumlah muridnya pada ketika itu adalah seramai 18 orang dan Guru Besar yang pertama pada ketika itu pula ialah Encik Awang yang berasal dari Pulau Pinang.
 
         Sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 1890, bangunan baru telah didirikan di atas tanah kepunyaan Allahyarham Encik Uda Kohor. Bangunannya diperbuat daripada kayu yang lebih baik tetapi masih berdinding papan dan beratapkan nipah yang mempunyai tiga ruang berukuran 60 X 20 kaki.
 
         Oleh kerana perkembangan yang pesat dalam bidang pelajaran, sebuah lagi bangunan telah dibina dalam tahun 1904. Bangunan ini dijadikan Sekolah Melayu Perempuan. Bangunan ini sama seperti bangunan sekolah lelaki. Guru Besarnya yang pertama pula ialah Cik Yah yang juga berasal dari Pulau Pinang.
 
         Pada tahun 1914 bangunan diperbesarkan lagi dengan tambahan satu ruang berukuran 20 X 20 kaki persegi. Pada tahun 1917 tiga bilik darjah dibina bagi menampung pertambahan murid yang pesat dari tahun ke setahun. Pada ketika itu jumlah bilik darjah adalah sebanyak lapan buah. Sebuah rumah Guru Besar juga dibina.
 
         Malang tidak berbau. Pada tahun 1939 rumah Guru Besar terbakar. Bangunan sekolah turut terjejas. Dengan bantuan penduduk kampung, bangunan sekolah dapat dibaiki semula.
 
         Semasa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941, murid-murid tetap hadir ke sekolah dan mereka sudah pastinya belajar dengan bahasa pengantarnya bahasa Jepun. Pada ketika itu bangunan sekolah sudah sangat uzur dan atapnya bocor di sana sini. Setelah kekalahan tentera Jepun pada tahun 1946, murid-muridnya kembali belajar dalam bahasa pengantarnya bahasa Melayu.
 
          Pada tahun 1958, sebuah sekolah cawangan telah dibina berhampiran jalan raya. Bangunan ini dilengkapi dengan dua bilik darjah. Sebuah padang permainan juga disediakan untuk kemudahan murid-murid beriadah. Pada tahun 1967, sebuah bangunan tambahan dibina berhampiran bangunan asal bagi menampung pertambahan pelajar. Bangunan masih lagi diperbuat daripada kayu.
 
          Seterusnya pada tahun 1970 bertarikh 1 September, Sekolah Kebangsaan Lelaki dan Sekolah Kebangsaan Perempuan Pulau Tiga telah digabung dan diberi nama Sekolah Kebangsaan Pulau Tiga. Tuan Hj. Aala b. Mohd Ariff yang sebelum ini menjadi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Lelaki telah dilantik menjadi Guru Besar yang pertama. Pengabungan ini adalah atas persetujuan semua penduduk kampung dan Ahli Lembaga Pengurus kedua-dua buah sekolah serta direstui pula oleh Jabatan Pelajaran Negeri.
 
           Pada 5 Julai 1975, Sekolah Kebangsaan Pulau Tiga telah menyambut Perayaan Jubli Intan sempena genap 100 tahun usianya. Perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran ketika itu Yang Berhormat Tan Sri Hamdan Sheikh Tahir, AMN. Beliau juga telah mengumumkan nama Sekolah Kebangsaan Raja Chulan, Pulau Tiga sebagai nama baru sekolah. Nama tersebut adalah sempena nama Raja Chulan seorang anak watan Pulau Tiga yang terkenal dengan bukunya "Misa Melayuā€¯.
 
           Seiring dengan perkembangan pelajaran, sebuah sekolah bangunan konkrit telah dibina berhampiran sekolah cawangan berhampiran jalan raya. Bangunan ini dilengkapi dengan tiga buah bilik darjah, bilik guru, tandas, setor dan sebuah kantin.
 
           Walaupun bangunan konkrit telah dibina, namun kelas untuk pembelajaran masih tidak mencukupi. Sekolah di tepi sungai masih diguna pakai untuk darjah 2 dan 3. Ini amat menyukarkan pihak pentadbiran.
 
           Dengan usaha keras PIBG sekolah, satu peruntukan telah diluluskan bagi membina bangunan gotong-royong. Bangunan tersebut telah dapat disiapkan pada November 1989. Bangunan ini dilengkapi empat buah bilik darjah yang boleh diubah suai menjadi dewan berpentas. Dengan terbinanya bangunan tersebut murid-murid tidak lagi menggunakan bangunan sekolah berhampiran sungai. Semua murid belajar di bangunan sekolah yang terletak di tepi jalan raya.
 
           Sehubungan dengan itu pengurusan menjadi lebih sempurna. Bangunan sekolah lama telah diserahkan kepada Pusat Giat Mara Kg. Gajah. Pada tahun 1995 sebuah lagi bangunan juga dibina dan dijadikan Bilik Kemahiran Hidup. Bangunan lama telah dirobohkan kerana sudah terlalu uzur.
 
           Tanggal 26 September 1991M bersamaan 18 Rabiul Awal 1412H, Sekolah Kebangsaan Raja Chulan telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato Seri Dr. Hj. Ramli bin. Ngah Talib, Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, Menteri Besar Perak pada ketika itu. Beliau juga merupakan bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Raja Chulan.
 
           Sehingga ke hari ini Sekolah Kebangsaan Raja Chulan mempunyai tiga blok bangunan tetapi masih dianggap kurang mencukupi berbanding dengan sekolah-sekolah lain.

          
Pemandangan Sekolah Waktu Dahulu Dan Perasmian Sekolah



Bangunan Sekolah Melayu Lelaki Pertama Yang Didirikan Dalam Tahun
1880 Secara Bergotong-Royong.


Sebahagian Dari Binaan Sekolah Melayu Lelaki Pulau Tiga Yang Dibina
Pada Tahun 1890.


Sekolah Melayu Perempuan Yang Mula-Mula Didirikan Pada Tahun 1904.
Di Sebelahnya Adalah Rumah Guru Besar.


Bangunan Sekolah Melayu Perempuan.


Sekolah Cawangan Yang Dibina Berhampiran Jalan Raya Pada Tahun
1958.


Perasmian SK Raja Chulan Yang Dirasmikan Oleh YAB Tan Sri Dato' Seri
Dr. Haji Ramli b. Ngah Talib, PSM, SPCM, AMN, JP. Pada Tanggal
26 September 1991.

Penulis dan pengkaji sejarah sekolah,
Pn. Maimunah Rohani bt. Muhali Guru Kanan
Maklumat serta gambar diperolehi daripada;
1. Tn. Hj. Aini @ Abas bin Ahmad Bekas pelajar dan PRA sekolah, Ketua Kampung Melayu, Pulau Tiga 2.
Album sekolah MRM/06 - 03.02.2006~03.03.2006


Search
Calendar
«  April 2024  »
SuMoTuWeThFrSa
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
282930